Ribut kuat badai khemah sehingga berterbangan
Ribut kuat badai khemah sehingga berterbangan
JERANTUT : Orang awam dan penduduk taman perumahan berdekatan dengan sebuah hotel di bandar ini terkejut apabila melihat beberapa buah khemah perniagaan berterbangan ditiup angin kencang sehingga terbang melintasi sebuah parit besar ke salah halaman sebuah rumah berdekatan.
Kejadian angin kuat itu berlaku kira-kira jam 6.00 petang selama hampir 15 minit turut menggemparkan tetamu dan penghuni sebuah hotel dekat situ disusuli dengan hujan lebat sederhana.
Seorang penghuni hotel itu, Sulaiman Azman (59) berkata, ketika dia bersama beberapa orang lain yang berada di hadapan hotel itu gempar seketika apabila ribut membadai beberapa buah khemah gerai perniagaan dan bimbang akan meranapkan beberapa buah kenderaan yang diletakkan di situ.
“Saya dengan beberapa orang lain sedang berada di hadapan hotel melihat khemah-khemah itu berterbang setinggi kira-kira 3 meter dan ‘menyebarang’ parit besar ke sebuah rumah di situ.
“Mujur tiada orang terutama kanak-kanak dan kenderaan berada di situ kerana hentaman besi khemah itu kedengaran sangat kuat,” katanya.
Difahamkan khemah tersebut masih kosong dipasang sebagai persediaan pemindahan sementara peniaga gerai jualan berdekatan oleh pihak berkuasa tempatan.
Seorang penduduk, Abd Manaf Mat, 60, berkata, dia sedng memandu kereta untuk ke sebuah pasar raya di bandar itu ketika ribut mula melanda.
“Setiba berdekatan kawasan perniagaan di sini, saya nampak dua buah khemah diterbangkan angin dan terjatuh di hadapan rumah berdekatan.
“Saya memberhentikan kereta dan melihat ribut membadai sehingga beberapa buah khemah lagi tercabut dan diterbangkan ribut, manakala beberapa yang lain runtuh,” katanya.-SAHIH.