PN sudah ada bakal calon MB Pahang
PN sudah ada bakal calon MB Pahang
Foto atas : Datuk Seri Saifuddin Abdullah menghadiri Majlis Sambutan Hari Deepavali Perikatan Nasional peringkat negeri di sini hari ini.
BENTONG – Perikatan Nasional (PN) sudah ada calon Menteri Besar Pahang sekiranya dapat menawan negeri ini dalam Pilihan Raya Umum Ke15 (PRU15).
Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah menjelaskan calon yang dicadangkan itu mendapat persetujuan tiga parti gabungan dan akan diumumkan sebelum atau selepas PRU15 mengikut masa yang bersesuaian.
“PN sudah ada calon MB di kalangan tokoh kami, bagaimanapun, saya akan memaklumkan pada masa calon berkenaan pada masa yang bersesuaian, tetapi kami yakin perkara ini akan direalisasikan setelah PN memenangi PRU15 ini.
“Pakatan dan kerjasama untuk melantik calon MB termasuk pembahagian semua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan dipertandingkan nanti dalam keadaan yang mesra dan masing-masing bersepakat dan bertekad untuk menawan negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Deepavali Perikatan Nasional peringkat negeri di sini hari ini.
Katanya, PN sudah pun selesai pembahagian kerusi untuk calon yang bertanding pada PRU15, iaitu 14 Parlimen dan 42 DUN dan bagaimanapun bergantung kepada persetujuan pihak PN Pusat.
“Calon yang kita putuskan untuk bertanding di Pahang mempunyai kreadibiliti serta berkemampuan untuk mendekati pengundi seterusnya dapat memenangi kawasan berkenaan.
“Kita sudah bersiap siaga membuka semua pusat operasi untuk berkempen di setiap Parlimen dan DUN serta strategi bagi menggempur kubu Barisan Nasional selepas mengumumkan calon nanti,” katanya. – SAHIH.