PASANG BENDERA DI VESPA ANTIK SAMBUT HARI KEBANGSAAN
PASANG BENDERA DI VESPA ANTIK SAMBUT HARI KEBANGSAAN
JERANTUT : Rosman Marman berusia 71 tahun dan isterinya Siti Mutrika Mohd. Noor, 64 menjadikan sambutan Hari Kebangsaan tanah air sebagai satu kemestian dengan memasang bendera di Vespa antiknya berusia 53 tahun serta di bahagian depan rumahnya di Felda Gelanggi Dua, dekat sini.
Rosman seorang peneroka di Felda itu sejak 1978 berkata, setiap kali menjelang sambutan 31 Ogos dia sudah bersiap sedia dengan memasang bendera di kenderaannya terutama Vespa antik yang dibeli daripada kawannya pada tahun 1978.
Katanya, dia pernah menunggang Vespa itu sampai ke negeri Perlis dan pulang semula ke Pahang dengan selamat sempena Program Kembara anjuran Persatuan Vespa Bandar Pusat Jengka, oleh itu nostalgia Vespa itu amat menjadi kenangan padanya.
“Setiap menjelang bulan Ogos, saya akan memasang dan menghias Jalur Gemilang di bahagian pemegang dan hadapan Vespa ini dan berarak di kawasan blok Felda ini sambil isteri membonceng sambil mengibarkan bendera bersaiz besar.
“Tapi sejak tahun lalu, penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan saya akan menunggang Vespanya yang dipasang Jalur Gemilang dan bergerak di sekitar kawasan Felda sahaja sebagai tanda menaikkan semangat patriotik terutama penduduk di sini,” katanya.
Katanya, masing-masing mempunyai cara tersendiri untuk menyambut hari kemerdekaan tetapi sekurang-kurang memasang bendera walaupun sehelai di hadapan rumah.
“Sejak kebelakangkan ini, semangat memasang bendera di kediaman masing-masing semakin pudar, oleh itu semangat menyambut hari kebangsaan perlu dititik beratkan khususnya generasi muda.
“Generasi baharu sewajarnya turut tahu dan sayangkan negara betapa susah payahnya perjuangan orang terdahulu untuk mendapatkan kemerdekaan daripada penjajah, maka kita perlu bersyukur tinggal di negara yang bertuah ini”katanya.
Dia yang berminat dengan muzik Pop Yeah-Yeh, meminati penyanyi era tersebut seperti A. Ramli dan Datuk Jeffrydin kerana zaman itu sangat dekat dengan kemerdekaan.
Sementara itu, isterinya, Siti Mutrika sudah tahu minat suaminya apabila menjelang sambutan hari kebangsaan dengan memasang bendera di Vespa dan keretanya, sanggup berbelanja ratusan ringgit membeli bendera.
“Saya pun tumpang minatnya dan membantu memasang bendera di Vespanya dan juga di sekitar rumah, saya berharap generasi muda turut memasang bendera di rumah dan juga kenderaan masing-masing,” katanya.-SAHIH.