Pemandu, penumpang terselamat dalam kemalangan dengan lori balak
LIPIS : Pemandu dan penumpang kenderaan pacuan empat roda (4×4) Ford Ranger terselamat dalam kemalangan yang berlaku di KM 12, Jalan Lipis – Merapoh pada jam 2.15 petang, hari ini.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superitenden Azli Mohd Noor berkata, kenderaaan itu dari arah Merapoh ke Lipis sedang bergerak mendaki bukit di laluan tersebut, tiba-tiba cuba memotong sebuah lori treler muatan balak dari arah yang sama di hadapan.
“Pemandu itu dipercayai hilang kawalan terus melanggar belakang lori treler tersebut. Pemandu dan penumpang kenderaan pacuan empat rida hanya mengalami kecederaan ringan.
“Kemalangan berlaku di kawasan garisan berkembar sebagai pembahagi jalan, jalan 4 lorong dua hala dan pada ketiak kejadian keadaan cuaca baik dan keadaan permukaan jalan kering,” katanya.
Katanya, disebabkan kemalangan itu, berlaku kesesakan dan kenderaaan terlibat dalam kemalangan itu telah dialihkan dari tempat kemalangan.
“Diharap semua pengguna laluan tersebut diharap berhati-hati dan memastikan kenderaan masing-masing dalam keadaan yang baik,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Sebahagian mangsa banjir merakamkan kenangan bersama-sama sukarelawan termasuk daripada Persatuan Kebajikan Mahmudah Malaysia (PKMM) dan Badan Didikan Islam UDA holdings Berhad (Badim) selepas menerima sumbangan barangan makanan asas dan wang tunai , baru-baru ini.
Penduduk terkesan banjir gembira terima kunjungan misi bantuan
YONG PENG – Penduduk yang terkesan ditimpa bencana banjir terubat apabila menerima kunjungan misi bantuan banjir pasukan sukarelawan termasuk daripada Persatuan Kebajikan Mahmudah Malaysia (PKMM) bersama Badan Didikan Islam UDA Holdings Berhad (Badim), baru-baru ini.
Mangsa banjir terbabit melahirkan rasa bersyukur dengan kunjungan pelbagai penubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi membantu meringankan bebanan mereka selepas banyak peralatan dan perabot dalam rumah rosak dan diseliputi lumpur akibat digenangi banjir bermula pada 10 Mac 2023 lalu.
Pengerusi Persatuan Ibu Tunggal Kebangsaan Malaysia (PITKM) Sri Gading, Johor, Asmah Kassim, berkata bantuan yang disumbangkan oleh PKMM dan Badim amat membantu meringankan kesusahan yang ditanggung oleh ahli-ahlinya yang menjadi mangsa banjir.
Katanya, sebanyak 36 rumah ahli PITKM di beberapa kampung sekitar daerah berkenaan ditenggelami banjir apabila air melimpah masuk ke dalam rumah antara paras lutut dan dada menyebabkan banyak barangan seperti perabut, tilam, sofa, peti ais, televisyen dan sebagainya rosak.
“Kedatangan NGO ini untuk membantu membersihkan rumah serta peralatan sangat membantu kerana tidak termampu untuk kami lakukan sendirian dalam keadaan perasaan yang tertekan serta berduka.
“Sumbangan bungkusan makanan asas harian berserta wang tunai walaupun tidak banyak amat menggembirakan dan menyejukkan hati kami yang dalam kalangan ibu tunggal ini,” katanya ketika hadir bersama ahli menerima sumbangan daripada PKMM dan Badim.
Penyelaras pasukan misi bantuan banjir PKMM dan Badim, Azman Rasman, berkata pasukan itu yang turut disertai sukarelawan Hospital Kajang dan Hospital Ampang di Selangor turut membawa 50 bungkusan makanan asas berserta wang tunai dan pakaian terpakai adalah sumbangan pelbagai pihak termasuk individu prihatin untuk membantu mangsa banjir.
Jelas beliau, di samping itu mereka turut membawa peralatan untuk membantu dalam kerja pembersihan terutama mencuci lumpur yang meliputi lantai dan barangan dalam rumah serta pam bagi menyedut air keluar.
“Dalam masa yang terhad kami hanya mampu membersih beberapa rumah di Kampung Jalan Lama Yong Peng, Kampung Parit Amir, Kampung Parit Tengah termasuk bahagian bawah Masjid Tunku Laksamana Abdul Jalil, Pekan Yong Peng,” katanya.
Sementara itu aktivis masyarakat, Nordin Mokri, berkata kehadiran pelbagai NGO banyak membantu mangsa banjir apabila ada di antara mereka berasa amat tertekan apabila melihat keadaan rumah ditakungi air banjir yang tidak dapat mengalir keluar kerana berada dalam kawasan rendah.
Menurutnya, dia bergegas datang untuk membantu pasukan sukarelawan PKKM dan Badim apabila dimaklumkan mereka akan mengunjungi kampung berkenaan untuk membantu mangsa banjir dan menagihkan bungkusan barangan makanan asas.
Tambahnya, seperti mangsa banjir dia juga berasa amat terharu kerana ada pihak jauh dari daerah itu sanggup datang walaupun dalam masa terhad bagi menghulurkan bantuan sekadar termampu untuk meredakan tekanan perasaan mangsa banjir.
Jelas beliau, apabila mangsa banjir berkumpul di satu tempat untuk menerima agihan bantuan itu secara tidak langsung mengeratkan ukhuwah antara mereka yang sama-sama ditimpa kesusahan serta dugaan akibat bencana alam berkenaan.
“Daripada pengalaman saya, banjir ini lebih besar berbanding tahun 2006 lalu dan kedukaan mangsa banjir amat terasa apabila terpaksa bersabar dan berjimat kerana mereka juga membuat persiapan untuk persekolahan anak,” katanya. -SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Warga emas 71 terselamat dari kebakaran rumahnya di Jerantut
JERANTUT : Seorang warga emas berusia 71 tahun terselamat apabila menyedari rumahnya terbakar apabila serpihan siling terbakar jatuh di belakangnya ketika keluar dari bilik mandi.
Kejadian berlaku di di sebuah rumah binaan kekal Perumahan Awam Kos Rendah Peringkat 3 dan 4, dekat sini pada jam 9.05 malam, semalam.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superitenden Mazlan Hassan berkata, ketika kejadian, mangsa sedang mandi dan apabila keluar dari bilik air serpihan siling terbakar jatuh di belakangnya ketika keluar dari bilik mandi di rumahnya.
“Tiba-tiba serpihan api dari siling rumah telah terjatuh lalu terkena pada bahagian belakang bahu sebelah kiri mangsa.
“Mangsa mengalami kecederaan melecur di belakang bahu sebelah kiri dan menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Jerantut,” katanya melalui kenyataan dikeluarkan.
Katanya, setakat ini, mangsa tidak dapat memastikan punca kejadian, ketika berlaku kebakaran itu mangsa hanya melihat api telah terbakar di ruangan bilik tidurnya setelah keluar dari bilik mandi.
“Pihak bomba telah berjaya memadam kebakaran kira-kira jam 9.30 malam, setakat ini pihak bomba masih belum dapat mengesahkan punca kejadian dan Unit Forensik Bomba akan menjalankan siasatan pada hari ini,” katanya.
Sementara itu, seramai 12 orang anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jerantut dan Bandar Jengka bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi pemadaman.
Pegawai Operasi, Osman Malek melaporkan, kebakaran melibatkan sebuah rumah kekal berukuran 6 meter x 20 meter (20 kaki x 70 kaki).
“Rumah tersebut terbakar 70 peratus dan tidak melibatkan mangsa, operasi turut menggunakan dua buah jentera,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Wan Mohd Nazari Wan Hassan, 50, (kiri) yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) kurang pendengaran, turut menerima rumah RRP daripada ADUN Padang Tengku, Datuk Mustapa Long (tengah), hari ini.
Tiga penerima rumah RPP di Padang Tengku bersyukur terima rumah
LIPIS – Dua penerima Rumah Rakyat Pahang (RRP) di kawasan Padang Tengku dekat sini, bersyukur menerima rumah tersebut menjelang sambutan awal Ramadan dan menceriakan sambutan Aidil Fitri pada tahun ini.
Seorang ibu tunggal, Siti Norizan Hasan@Husin, berusia 43, dari Kampung Bapong, menzahirkan rasa gembira dan terharu memiliki rumah sendiri.
“Pendapatan sekitar RM500 sebulan dan bekerja sebagai pembantu kedai makan agak sukar untuk saya membeli untuk memliki rumah sendiri dan kini berpeluang menyambut bulan mulia ini di rumah baharu yang diberikan secara percuma oleh kerajaan negeri.
“Saya berteima kasih kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, Datuk Mustapa Long kerana memilih saya sebagai salah seorang penerima RRP,” katanya.
Turut hadir, Penghulu Mukim Telang, Muhamad Hafiz Mohamed Azmi; Mohd Zukifli Ramli, Penghulu Mukim Gua; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Beralas, Ismail Ali dan Ketua Cawangan UMNO Kampung Bapong, Mohd Asri Nong.
Seorang lagi penerima dari Kampung Beralas, Wan Mohd Nazari Wan Hassan, 50, yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) kurang pendengaran, berkata sebelum ini dia menumpang tinggal di rumah kakaknya yang terletak di Taman Cempaka, Padang Tengku.
“Penantian saya untuk memiliki rumah sendiri tercapai dan saya akan membawa emak yang berusia 82 tahun untuk tinggal bersama-sama di rumah RRP ini.
“Rumah ini cukup selesa untuk didiami kerana dilengkapi dengan ruang tamu, tiga bilik tidur, tandas, bilik air dan ruang dapur,” katanya.
Seorang penerima kaum India, Leela A/P Xavear, dari Kampung Batu Nering turut berterima kasih kepada kerajaan negeri memberi bantuan sebuah rumah kepada keluarganya. dan sumbangan rumah itu akan diingati sepanjang hayat kerana sudah lama mengimpikan sebuah rumah yang selesa.
ADUN Padang Tengku, Mustapa Long berkata, RRP merupakan inisiatif Kerajaan Negeri Pahang yang untuk menyediakan kediaman lebih selesa kepada rakyat yang layak.
“Penerima akan disenarai pendek daripada golongan kurang berkemampuan yang berdaftar melalui e-kasih.
“RRP ini diberikan secara percuma kepada individu yang layak. Harga RRP dahulu RM65,000 seunit, namun kerajaan menambah peruntukan kepada RM75,000 berikutan kenaikan kos bahan binaan,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PEKAN – Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) memperkenalkan tiga kadar zakat fitrah untuk bulan Ramadan tahun ini.
Selain mengekalkan kadar RM7 bagi setiap orang, MUIP turut memberi pilihan kepada mereka yang berkemampuan menunaikan zakat fitrah mengikut kadar berdasarkan jenis beras digunakan.
Ketua Pegawai Eksekutif MUIP, Datuk Ahmad Hairi Hussain berkata, kadar itu diputuskan selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah dan jawatankuasa perundingan hukum syarak Pahang.
“Kadar zakat fitrah RM7 adalah minimum dan digalakkan bagi mereka yang menggunakan beras wangi atau beras putih import pada kadar RM14.
“Bagi (rakyat) yang menggunakan beras (jenis) ‘Basmathi’ atau beras perang atau setara pula kadar zakat (digalakkan) adalah RM21 seorang.
“Ini adalah kali pertama MUIP memperkenalkan tiga kadar zakat fitrah untuk rakyat Pahang,” katanya dalam sidang media di pejabat MUIP, dekat sini, hari ini.
Ahmad Hairi turut memaklumkan, urusan pembayaran zakat fitrah boleh mula dilalukan pada permulaan Ramadan melalui 934 amil yang sudah ditauliahkan MUIP.
Katanya, pembayaran melalui amil yang tidak ditauliahkan adalah tidak dibenarkan dan mereka yang menyamar sebagai amil zakat boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 38 Enakmen Kesalahan Syariah 2013.
“Selain menunaikan zakat fitrah melalui amil dilantik, orang ramai juga boleh melakukannya secara dalam talian di e-zakat MUIP,” katanya lagi.
Sementara itu, Ahmad Hairi berkata, MUIP juga akan mengagihkan bantuan menyambut Ramadan kepada 10,012 ketua isi rumah (KIR) membabitkan peruntukan RM4.6 juta.
Katanya, sejumlah RM4.2 juta turut disediakan MUIP untuk diagihkan kepada 682 masjid dan surau yang mendapat kebenaran menunaikan solat Jumaat.
“MUIP juga akan mengagihkan bantuan tahunan Aidilfitri kepada 16,893 KIR dengan peruntukan berjumlah RM7.8 juta serta bantuan Aidilfitri kepada saudara baru berjumlah RM1.5 juta membabitkan 8, 627 penerima,” katanya lagi.
TAMAT-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Mangsa Kebakaran Terima Kunjungan Pimpinan UMNO Jerantut
JERANTUT – Pimpinan UMNO Bahagian Jerantut melakukan kunjungan prihatin terhadap mangsa kebakaran di Rumah Kos Rendah Peringkat 3 dan 4 yang terbabit dalam kebakaran malam tadi.
Rombongan itu diketuai Ketua UMNO Bahagian Jerantut, Haris Salleh Hamzah , Timbalannya, Datuk Rozilan Salleh dan AJK, Razak Daud .
Dalam kunjungan itu juga, Haris Salleh mewakili UMNO Bahagian Jerantut menyampaikan sumbangan kepada keluarga mangsa.
Sumbangan itu adalah bagi meringankan beban ditanggung mangsa.
Beliau turut memaklumkan akan membantu mangsa mendapat bantuan sewajarnya daripada pihak berkenaan.
Dalam kejadian malam tadi, rumah itu terbakar hampir 70 peratus dan banyak harta benda tidak dapat diselamatkan.
Namun, tidak ada sebarang insiden tidak diingini berlaku ketika kejadian.
TAMAT-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Aktiviti Berbuka Puasa di Padang Terbuka Dibenarkan
KUANTAN – Tradisi berbuka puasa di padang terbuka sepanjang bulan Ramadan tahun ini dibenarkan tanpa sebarang syarat tambahan.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang, Datuk Seri Johari Harun berkata, aktiviti itu hanya perlu mengikut garis panduan ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Setakat ini untuk Ramadan sudah tentulah garis panduan dikeluarkan pihak jabatan agama, setakat ini tidak ada yang barulah, maknanya semua peraturan sedia ada itu terpakai seperti sedia kala.
“Macam di Kuantan mungkin kita ada buat (majlis berbuka puasa) di padang sebagai contohnya, sudah tentu akan diteruskan dan yang lain juga sama, tidak ada (peraturan) baru.
“Lagipun, tahun ini kita dah (bebas) seperti biasa, tidak ada lagi (peraturan) seperti PKP (Perintah Kawalan Pergerakan),” katanya.
Beliau yang juga ahli dewan undangan negeri (ADUN) Pelangai berkata demikian ketika ditemui media di Bentong, petang semalam.
Terdahulu, Johari merasmikan Musolla Al Khawarizmi (Al Masjid) Pusat Tahfiz Teknikal di Simpang Pelangai.
Dalam pada itu, beliau berharap pusat tahfiz teknikal berkenaan dapat menjadi ikon baharu untuk kawasan Pelangai dan menjadi lokasi persinggahan pilihan pengguna laluan Bentong-Jelebu, Negeri Sembilan.
“Pihak pengurusan tahfiz ini juga berhasrat menjadikan pusat tahfiz berkenaan sebagai kawasan rehat dan solat, satu konsep menarik menggantikan rehat dan rawat yang selalu kita dengar di lebuh raya.,” katanya.
TAMAT-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Bera – SEORANG lelaki maut selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) dipandunya melanggar sebuah lori berhampiran Klinik Kesihatan Padang Luas, dekat Bera, pagi tadi.
Mangsa disahkan maut akibat tersepit dalam kenderaan itu.
Pegawai Perhubungan Awam Bomba Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan itu jam 8.41 pagi.
“Sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Triang dihantar ke lokasi kejadian selepas laporan diterima.
“Operasi menyelamatkan dan mengeluarkan mangsa dilakukan 10 pegawai dan anggota dari balai bomba berkenaan.
“Pasukan bomba terpaksa menggunakan peralatan menyelamat khas bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kenderaan SUV itu,” katanya dalam satu kenyataan media di Kuantan, hari ini.
Zulfadli memaklumkan, mayat mangsa dibawa ke klinik berhampiran menggunakan ambulans dan kes itu diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.
TAMAT-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Bawa mangkok tingkat beli juadah di bazar Ramadan, elak penggunaan plastik berlebihan
JERANTUT – Bulan Ramadan akan tiba tidak lama lagi dan pastinya bazar Ramadan menjadi salah satu tempat menjadi kunjungan umat Islam dan kaum lain untuk membeli juadah sepanjang bulan tersebut.
Yang Dipertua Majlis Daerah Jerantut, Datuk Khairun Nissa Aris berkata, mengikut laporan pembuangan sisa makanan termasuk pembuangan beg dan bungkusan plastik yang digunakan dikhuatiri boleh menyumbang kepada pencemaran alam sekitar secara berterusan.
“Pengunjung bazar Ramadan disaran membawa beg kitar semula, mangkok tingkat dan bekas makanan yang dibawa dari rumah ketika membeli juadah berbuka puasa untuk menghindari penggunaan beg plastik berlebihan sepanjang bulan Ramadan.
“Tiba masanya mewujudkan budaya baharu dengan membawa bekas yang dibawa dari rumah seperti mangkuk tingkat, bekas makanan serta beg kitar semula ketika membeli juadah di bazar Ramadan.” katanya di sini.
Katanya, jika dimulakan budaya ini, tidak mustahil ia akan menjadi satu kebiasaan dalam kehidupan seharian dan seterusnya dapat mengurangkan penggunaan plastik serta sisa yang dijana.
“Selain itu makanan yang disimpan dalam bekas makanan sendiri lebih terjamin kebersihannya serta boleh terus dihidang.
“Amalan ini penting bagi mengurangkan penggunaan plastik sekali guna memandangkan kebanyakan makanan dan minuman di bazar Ramadan dijual dalam bungkusan plastik,” katanya.
Katanya, pengusaha makanan disarankan tidak menggunakan bekas bungkusan polisterin seperti yang diamalkan sekarang, sebaliknya menggunakan bekas makanan biodegradasi yang tidak mengandungi bahan pencemaran dan bekas seperti ini lebih mudah terurai dan lebih mesra alam.
“Walaupun perubahan yang dilakukan ini nampak kecil tetapi mampu memberi impak yang besar dalam jangka masa panjang termasuk menyelamatkan alam sekitar daripada dicemari lambakan sisa plastik.
“Pemantauan akan dilakukan oleh petugas di semua bazar Ramadan sepanjang bulan Ramadan bagi memastikan aspek kebersihan diutamakan dan sebanyak 115 tapak bazar Ramadan disediakan di bandar Jerantut,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Remaja tunggang motosikal aksi terbang ditahan di Bentong
BENTONG : Tiga remaja yang melakukan tunggangan motosikalnya secara berbahaya ditahan oleh anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong pada jam 1.30 pagi, pagi kelmarin.
Perbuatan itu dilakukan di Plaza Tol Karak, Lebuh Raya Karak – Kuala Lumpur dekat sini dalam Op Samseng Jalanan.
Ketua Polis Daerah Bentong, , Zaiham Mohd Kahar berkata, penunggang remaja berkenaan menunggang dengan melakukan aksi menundukkan badan an berlumba sesama sendiri.
“Selain itu, mereka melakukan tunggangan zig-zag serta melunjurkan kedua belah kaki ke belakang seperti gelagat Superman terbang.
“Cara tunggangan motosikal yang dilakukan secara melulu bukan sahaja berbahaya kepada diri sendiri malah kepada pengguna jalan raya lain,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Katanya, tiga remaja yang ditahan itu berusia antara 14 hingga 16 tahun merupakan pelajar sebuah sekolah sekolah di daerah ini.
“Sempena OP Samseng Jalanan ini, polis BSPT telah mengeluarkan sebanyak 25 saman atas pelbagai kesalahan dan turut merampas tiga buah motosikal.
“Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 serta Seksyen 108(e) APJ 1987,” katanya.
Beliau berkata, polis berterima kasih kepada orang ramai kerana memberikan maklumat mengenai aktiviti samseng jalanan tersebut dan memohon ibu bapa dan penjaga sentiasa memantau anak-anak masing-masing supaya tidak terlibat dengan aktiviti yang tidak bermoral.
“Semua pihak diminta membendung dan mengekang budaya samseng jalanan secara serius di samping memberikan maklumat kepada polis.
“Polis BSPT di sini akan terus melaksanakan Op Samseng Jalanan dan setiap aduan atau maklumat yang diperoleh dalam proses untuk tindakan,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!