NICOL MENANG ANUGERAH ATLET TERUNGGUL SEPANJANG ZAMAN
NICOL TERIMA 318,943 UNDIAN YANG DIADAKAN SEJAK 8 JANUARI LALU.
KUALA LUMPUR: Bekas ratu skuasy negara, Datuk Nicol David dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Atlet Terunggul Sepanjang Zaman Sukan Dunia, sebentar tadi.
Nicol menerima menerima 318,943 undian untuk meraih Anugerah Atlet Terunggul Sepanjang Zaman
Sebaik undian ditutup pada jam 9 malam tadi, bekas pemain nombor satu dunia selama 109 bulan berturut-turut itu nyata unggul apabila menerima 318,943 undian yang diadakan secara dalam talian sejak 8 Januari lalu.
“Ia adalah satu penghormatan buat diri saya apabila dicalonkan untuk Anugerah Atlet Terunggul Sepanjang Zaman dan menerima sokongan padu daripada seluruh rakyat Malaysia serta komuniti skuasy.
“Ia sesuatu yang agak mengejutkan untuk saya disenaraikan bersama atlet terkemuka dunia yang lain dan saya bersyukur untuk perkara ini. Diharapkan kejayaan ini mampu menarik perhatian dunia terhadap sukan skuasy.
“Saya berbangga dapat mewakili negara saya dan Asia,” kata Nicol yang menjadi atlet tunggal dari Asia yang dicalonkan.
Bekas pemain skuasy negara, Nicol pernah menduduki sebagai pemain nombor satu dunia selama 109 bulan berturut-turut.
Jumlah undian yang diterima Nicol itu jauh meninggalkan pencabar utamanya yang juga legenda tarik tali Ireland, James Kehoe yang menerima 113,120 undian untuk berada di tempat kedua.
Legenda powerlifting Ukraine, Larysa Soloviova pula berada di kedudukan ketiga dengan 80,790 undian.
Sebagai rekod, pemain hoki dari India, Ritu Pani memenangi anugerah terbabit bagi edisi 2019.
Anugerah terbabit dianjurkan Persatuan Sukan Dunia Antarabangsa (IWGA) sebagai sambutan untuk ulang tahun ke-40 acara sukan dunia.
Penganjuran anugerah itu bertujuan memilih atlet terbaik sepanjang zaman yang pernah beraksi dalam mana-mana edisi sukan dunia yang diadakan buat pertama kalinya di Santa Clara, Amerika Syarikat pada 1981.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KHIDMAT KAUNTER DI PAHANG DITANGGUHKAN MULAI 2 FEB – 14 FEB
Penguatkuasaan berikutan situasi kluster baharu muncul di tempat kerja dan sukarelawan bantuan pasca banjir
KUANTAN: Kerajaan negeri Pahang menguatkuasakan semua perkhidmatan kuanter pejabat kerajaan negeri dan persekutuan ditangguhkan sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengekang penularan wabak Covid-19 mulai 2 Februari sehingga 14 Februari 2021.
Penguatkuasaan ini berikutan situasi terkini dan kluster-kluster baharu yang muncul daripada penularan di tempat kerja dan sukarelawan bantuan pasca banjir semakin menjadi-jadi.
Kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Pahang turut menetapkan kehadiran kakitangan jabatan kerajaan negeri tertakluk kepada arahan Setiausaha Kerajaan Pahang dan bagi kakitangan jabatan persekutaun tertakluk arahan ketua pengarah perkhidmatan awam.
Selain itu keutamaan kehadiran ke pejabat adalah kakitangan yang terlibat dengan perkhidmatan perlu (essential services) yang ditentukan oleh ketua jabatan masing-masing , manakala kakitangan lain hanya bekerja di rumah (BDR)
Urusan kaunter perkhidmatan pejabat persekutuan dan negeri yang melibatkan urusan orang awam ditangguhkan sementara dari 2 Februari 2021 hingga14 Februari 2021 dan digalakkan menggunakan semua perkhidmatan secara atas talian.
Sektor swasta yang disenaraikan sebagai perkhidmatan perlu, operasinya tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang hanya melibatkan 30 peratus kehadiran bagi pihak pengurusan.
Semua penguatkuasaan pematuhan SOP di tempat-tempat kerja awam dan swasta akan dilaksanakan serta-merta.
Menguatkuasakan had perjalanan dan pergerakan di dalam lingkungan 10 kilometer radius daripada kediaman masing-masing
Manakala tarikh akhir penghantaran bantuan pasca banjir yang dipohon melalui sistem ebanjir.pahang.gov.my adalah pada 15 Februari 2021.
Kerajaan Negeri Pahang akan menguatkuasakan had perjalanan dan pergerakan di dalam lingkungan 10 kilometer radius daripada kediaman masing-masing seperti ditetapkan oleh MKN serta-merta bagi menghadkan pergerakan dan seterusnya memutuskan rantaian penularan wabak.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JENAZAH KANAK-KANAK MANGSA DERA SELAMAT DIKEBUMIKAN
JASIN: Jenazah kanak-kanak dipercayai mangsa dera, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Padang Lebar, Simpang Bekoh, di sini, jam 12.40 tengah hari tadi.
Ketibaan jenazah menggunakan van disediakan masjid kariah Simpang Bekoh itu turut diiringi beberapa ahli keluarga kandung dan keluarga angkat mangsa.
Sebelum itu, jenazah kanak-kanak lelaki dipanggil ‘Adik’ itu tiba di Madrasah Asy-Syakirin, Kampung Simpang Bekoh, jam 11 pagi untuk dimandi, dikafan dan disembahyangkan.
Turut hadir, ahli keluarga angkat mangsa, termasuk ibu bapa angkatnya, Norlida Abu Hassan dan Md Tarmidi Yaaccob.
Keluarga angkat mangsa turut hadir pada majlis pengebumian. BH
Polis dilihat mengawal ketat kawasan madrasah dan tanah perkuburan dengan hanya ahli keluarga serta beberapa penduduk kampung dibenarkan memasuki kedua-dua lokasi berkenaan.
Wakil media yang membuat liputan pula tidak dibenarkan masuk ke kawasan tanah perkuburan atas permintaan keluarga kandung, lapor BH ONLINE.
Terdahulu, jenazah dibawa dari Hospital Melaka kira-kira jam 10 pagi selepas dituntut wakil keluarga kandung mangsa.
Keluarga angkat terpaksa akur dengan keputusan dicapai menerusi perbincangan kedua-dua pihak, lewat malam tadi.
Norlida dan Md Tarmidi sebelum ini dilaporkan memohon kebenaran keluarga kandung mangsa supaya jenazah dikebumikan di Rawang, Selangor, namun ditolak.
Proses bedah siasat mayat kanak-kanak itu bermula kira-kira jam 11 pagi semalam sebelum selesai jam 10 malam tadi.
Polis dilapor mengesahkan ada beberapa kesan lebam, termasuk luka lama dan baharu pada anggota badan mangsa, khususnya di kepala serta belakang badan kanak-kanak itu.
Van membawa jenazah kanak-kanak dipercayai mangsa dera tiba di Tanah Perkuburan Islam Padang Lebar, Simpang Bekoh, JASIN.BH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
THAILAND : Lima anggota polis cedera di wilayah Narathiwat ketika bahan peledak meletup ketika mereka sedang menyiasat menara sel yang terbakar.
Serangan itu berlaku di Jalan Iregasae-Srisakhon di kecamatan Sri Sakhon pada pukul 11.30 pagi.
Menurut laporan The Nasional Thailand, Polis Sri Sakhon dipanggil untuk memeriksa menara sel yang telah dibakar. Ketika polis sampai di lokasi, bom yang ditanam di dekatnya meletup, merosakkan trak pikap polis dan mencederakan lima pegawai. Mereka dihantar ke Hospital Sri Sakhon untuk rawatan dan kini berada dalam keadaan stabil.
Timbalan Ketua Polis Daerah Narathiwat, Kolonel Suthon Sukwiset mengatakan bahawa pasukan Pelupusan Bahan Letupan menyiasat lokasi tersebut dan mendapati bom itu telah ditanam di bawah permukaan jalan dan disambungkan ke silinder LPG 25kg. Pegawai mengesyaki bahawa bom itu dinyalakan oleh isyarat radio komunikasi.
“Pengeboman itu boleh menjadi serangan terhadap pegawai yang dirancang oleh kumpulan pemberontak yang tidak diketahui,” katanya.
“Awal pagi itu, seorang suspek yang tidak diketahui telah membakar menara sel menggunakan tayar motosikal sebagai bahan bakar, mungkin dalam usaha untuk menarik pegawai ke dalam perangkap bom.”-AFP
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
SEOUL: Korea Selatan semalam mengumumkan mahu melanjutkan penguatkuasaan kawalan pergerakan dua minggu lagi sehingga berakhirnya Tahun Baharu Cina.
Pengumuman itu melenyapkan harapan sebelumnya bahawa kerajaan akan meredakan peraturan kawalan pergerakan meliputi tidak boleh memakan dalam restoran dan larangan perhimpunan lebih dari empat orang yang sudah dilaksanakan sejak awal Disember lalu.
Peraturan kawalan pergerakan itu dilanjutkan berikutan jumlah kes dalam kelompok jangkitan yang kebanyakannya dikaitkan dengan pusat keagamaan, meningkat, lapor agensi berita CNA.
Agensi Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea (KDKC) melaporkan 355 kes baharu COVID-19 sehingga Sabtu lalu.
Jumlah kes baharu itu turun semula di bawah paras 400 buat kali pertama dalam masa lima hari, namun kemerosotan itu disebabkan kurangnya ujian COVID-19 yang dijalankan pada hujung minggu.
Lanjutan tempoh kawalan pergerakan itu meliputi musim cuti Tahun Baharu Cina pada 12 Februari ini.
Lazimnya ramai rakyat Korea Selatan melakukan perjalanan rentas negara semasa cuti itu.
Pada masa yang sama, Perdana Menteri Korea Selatan, Chung Sye-kyun berkata, negaranya akan menerima 117,000 dos vaksin Pfizer, cukup untuk sekitar 60,000 orang, seawal pertengahan bulan ini menerusi skim agihan sedunia COVAX.
AstraZaneca juga akan menghantarkan vaksin ke Korea Selatan cukup untuk 300,000 orang mulai bulan ini, juga menerusi COVAX.
Jumlah tersebut adalah sebahagian daripada penghantaran pertama syarikat itu daripada sejumlah 1.3 juta hingga 2.19 juta vaksin yang akan dihantar bagi separuh pertama tahun ini, kata Sye-kyun. – AGENSI
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
SERAMAI 335 TERIMA DARJAH KEBESARAN SEMPENA HARI WILAYAH
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertua Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas mendahului senarai 335 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat sempena Hari Wilayah Persekutuan, hari ini.
Abdul Rahman dikurniakan Darjah Seri Utama Mahkota Wilayah (SUMW) yang membawa gelaran Datuk Seri Utama.
Penerima lain yang turut dikurniakan SUWM adalah Yang di-Pertua Sabah, Tun Juhar Mahiruddin; isteri Yang di-Pertua Sarawak, Toh Puan Ragad Kurdi Taib; Yang di-Pertua Melaka, Tun Ali Mohd Rustam; Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Seramai 24 penerima dikurniakan Darjah Kebesaran Seri Mahkota Wilayah (SMW) yang membawa gelaran Datuk Seri iaitu Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Penerima lain, Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Rosida Jaafar; Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan), Datuk Seri Mohd Sallehuddin Hassan dan Ketua Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Yusof Ismail.
Ia termasuk Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah; bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Datuk Nor Hisham A Dahlan; bekas Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur Datuk Seri Dr Noordin Ab Razak.
(Atas dari kiri) Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Datuk Dr Radzi Jidin dan Datuk Zuraida Kamaruddin. (Bawah dari kiri)
Turut menerima, Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nardin Awang; pakar bahasa yang juga Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka, Prof Datuk Seri Dr Awang Sariyan dan Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Seri Mohamed Faroz Mohamed Jakel.
Sementara itu, 81 individu dianugerahkan Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk, masing-masing Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin.
Turut menerima PMW, Pengarah Belanjawan Negara, Datuk Johan Mahmood Merican; Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAIWP), Datuk Mohd Ajib Ismail; Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah dan Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi MARA (UiTM), Datuk Prof Dr Shamrahayu Ab Aziz.
Dari kiri; Datuk Johan Mahmood Merican, Datuk Mohd Ajib Ismail dan Datuk Dr Luqman Abdullah.
PMW turut dianugerahkan kepada Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPN), Datuk Wan Saiful Wan Jan, bekas jaguh badminton negara, Datuk Abd Rashid Mohd Sidek dan Datuk Cheah Soon Kit serta Presiden Kelab Eksplorasi 7 Benua Malaysia, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin; Sasterawan Negara, Datuk Prof Dr Siti Zainon Ismail dan penulis lirik serta skrip terkenal, Datuk Habsah Hassan.
Seramai 49 individu dianugerahkan Johan Mahkota Wilayah (JWM), 76 individu menerima Kesatria Mahkota Wilayah (KMW), 31 dianugerahkan Ahli Mahkota Wilayah (AMW) dan 68 orang menerima Pingat Pangkuan Mahkota Wilayah (PPW).
Sementara itu, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, berkata tarikh Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan 2021 sedang ditentukan mengambil kira situasi semasa pandemik COVID-19 dan akan dimaklumkan kepada penerima kelak.
“Walaupun Istiadat belum diadakan, selaras dengan peruntukan di bawah Statut Darjah Yang Mulia Mahkota Wilayah, Ahli-Ahli Darjah Kebesaran Pangkat Pertama, SUMW, SMW dan PMW boleh pada setiap masa memiliki, menggunakan dan menikmati gelaran sebelum nama mereka.
“Wanita, yang suami mereka dikurniakan Pangkat Darjah Kebesaran ini boleh pada setiap masa memiliki, menggunakan dan menikmati gelaran sebelum nama mereka.
“Kementerian Wilayah Persekutuan mengucapkan tahniah dan menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan di atas segala jasa dan bakti yang disumbangkan oleh semua penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan 2021,” katanya, lapor BH ONLINE.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
EMPAT ORANG DITAHAN TERMASUK 3 KERETA DI TEMPAT KEJADIAN
KUALA LUMPUR: Polis menahan empat suspek disyaki terlibat dalam kes pergaduhan melibatkan sekumpulan lelaki bersenjatakan parang di hadapan Speedmart 99 di Taman Juara Jaya, Batu 9 Cheras semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Mohd Zaid Hassan berkata, polis menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pergaduhan sekumpulan lelaki pada 6.37 petang.
“Terdapat tiga kereta dengan kesan darah ditinggalkan di tempat kejadian. Dua orang mangsa kini sedang dirawat di hospital dan dalam keadaan stabil.
Kejadian gaduh di Cheras, petang semalam
“Punca kejadian masih lagi dalam siasatan pihak polis, kesemua suspek akan direman hari ini di Mahkamah Kajang bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kejadian pergaduhan itu turut tular menerusi sebuah video yang memaparkan sekumpulan lelaki bersenjatakan parang telah mencederakan sekumpulan lelaki yang lain.
“Sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung kes, boleh berhubung mana-mana balai berdekatan atau Pegawai Penyiasat ASP Mohd Radzee Jamudi di talian 019-6655811,” katanya.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mencederakan dengan senjata serta Seksyen 148 kanun sama kerana memiliki senjata dan merusuh.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PETALING JAYA: Dianggarkan ada kira-kira 30,000 ketua isi rumah di ibu negara, berada di bawah garis kemiskinan yang memerlukan bantuan sewajarnya.
Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, berkata jumlah itu dikenal pasti berada dalam 178 lokaliti sekitar Kuala Lumpur terutama membabitkan penghuni projek perumahan rakyat (PPR).
“Di bandar (Kuala Lumpur), golongan ini tidak dapat memenuhi keperluan yang asas seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal.
“Maka, pendapatan sekitar bawah RM2,200, kita anggap keluarga itu perlu mendapatkan bantuan sewajarnya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengumumkan senarai 335 penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2021 di Sri Pentas, di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Rosida Jaafar dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah.
Annuar bagaimanapun menjelaskan, pihaknya tidak dapat memberikan jumlah yang tepat ketua isi rumah tergolong di bawah garis kemiskinan kerana perbezaan angka antara agensi berkaitan.
“Ada pelbagai agensi yang melihat perkara ini seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).
“Kita akan cuba selaras sebab ada lain-lain jumlah, contohnya JAWI mempunyai 23,000 sasaran ketua keluarga, kita pun ada rekod lebih kurang sama manakala JKM mempunyai jumlah kira-kira 13,000.
“Bagaimanapun, anggaran kita antaranya berdasarkan jumlah ketua isi rumah membabitkan 63,000 unit PPR di sekitar ibu negara yang mana separuhnya daripadanya tergolong di bawah garis kemiskinan,” katanya.
Mengulas mengenai program MyBeras@Wilayah yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin malam tadi, Annuar berkata, ia adalah sub program kepada MyFood untuk golongan miskin bandar atau mereka yang hilang mata pencarian ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Kita menyasar untuk mengagihkan lebih 5,000 kampit beras seminggu dengan sasaran antara 20,000 ke 30,000 kampit sebulan.
“Mereka yang ingin menyumbang kepada program ini, boleh berbuat demikian dengan memberi sumbangan menerusi portal MyInfaq.
“Malah saya sendiri akan menghubungi rakan-rakan swasta untuk bersama menjayakan program ini. Orang ramai juga boleh menyumbang sekurang-kurangnya RM10 menerusi portal terbabit,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, agihan beras dilakukan secara sistematik kepada golongan sasar di setiap zon supaya tiada insiden pelanggaran prosedur operasi tetap (SOP) PKP.
Muhyiddin dalam perutusan khas sempena Hari Wilayah malam tadi berkata, Kementerian Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Yayasan Wilayah Persekutuan dan Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan mengagihkan beras kepada golongan memerlukan bermula semalam menerusi Program MyBeras@Wilayah.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JENAZAH KANAK-KANAK MANGSA DERA DIKEBUMIKAN DI MELAKA
JASIN: Jenazah kanak-kanak dipercayai mangsa dera ibu kandung dan bapa tirinya di Taman Krubong Jaya, di sini, sudah dituntut dari Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Melaka, pagi ini.
Jenazah mangsa sedang dalam perjalanan dibawa pulang ke kediaman keluarga neneknya di Kampung Simpang Bekoh, di sini, untuk disembahyang dan dikebumikan.
Tinjauan di kediaman keluarga ibu kandungnya di Taman Kasturi, Simpang Bekoh, bagaimanapun mendapati rumah itu tiada kelihatan kelibat orang ramai atau saudara-mara, sebaliknya hanya kedengaran alunan ayat suci al-Quran.
Sementara itu, sumber keluarga angkat kanak-kanak berkenaan memaklumkan, keluarga ibu kandungnya bertegas untuk mengebumikan jenazah mangsa di kampung ibunya.
Beliau berkata, keputusan itu dicapai antara kedua-dua keluarga, lewat malam tadi.
“Kita akur jika pihak keluarga kandung kekal dengan keputusan itu,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Masjid Al-Hidayah, Chabau, di sini, Rosli Ibrahim, memaklumkan sebuah van jenazah dari masjid berkenaan akan membantu membawa jenazah kanak-kanak itu untuk dikebumikan.
“Kerja menggali kubur di Tanah Perkuburan Islam Padang Lebar yang terletak kira-kira 100 meter dari kediaman keluarganya juga sudah dilakukan, semalam, selepas diminta oleh pihak keluarga terbabit,” katanya.
Jenazah dijangka dibawa ke Surau As-Syakirin, Simpang Bekoh, untuk disembahyangkan dan dikebumikan sebelum zuhur, lapor BH ONLINE.
Sebelum ini, proses bedah siasat mayat kanak-kanak itu bermula kira-kira jam 11 pagi semalam sebelum selesai jam 10 malam tadi, lapor BH ONLINE.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman, mengesahkan ada pelbagai kecederaan, termasuk luka baharu dikesan di bahagian belakang kepala kanak-kanak itu.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUANTAN: Talian telefon digunakan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail digodam sejak awal pagi tadi.
Beliau memaklumkan perkara itu melalui satu kenyataan dikeluarkan pejabat Menteri Besar Pahang, pagi ini.
KENYATAAN MEDIA PEJABAT MENTERI BESAR PAHANG
“Saya ingin memaklumkan bahawa talian telefon bimbit saya dipercayai telah digodam sejak awal pagi ini.
“Sehubungan itu, satu laporan polis akan segera dibuat bagi mengelakkan sebarang perkara tidak diingini berlaku,” katanya melalui kenyataan media berkenaan.
Wan Rosdy turut memohon maaf kepada semua pihak yang mungkin cuba menghubungi beliau melalui talian telefon bimbit yang digunakannya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!