Seorang datuk seri dan 25 orang ditahan dalam serbuan parti liar di Janda Baik
BENTONG – Seorang bergelar datuk seri bersama 25 orang yang lain ditahan dalam satu serbuan menyertai parti liar di sebuah rumah banglo yang disewa di kawasan Janda Baik, Bukit Tinggi dekat sini , pada jam 1.00 pagi hari ini.
Dalam serbuan tersebut, terdapat 15 lelaki dan 10 wanita yang berusia antara 18 tahun hingga 64 tahun ditahan kerana berada di tempat kejadian ketika serbuan dilakukan oleh sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superitenden Zaiham Mohd Kahar berkata, seramai 17 warga tempatan dan 8 warga asing terbabit menyertai parti liar itu.
“Dalam serbuan dan pemeriksaan yang dilakukan, polis telah menjumpai dan merampas dadah jenis ketamin seberat 2.18 gram dan pil ecstacy seberat 1.43 gram dan jumlah rampasan dianggarkan RM800.
“Ujian saringan awal air kencing ke atas 25 orang yang ditahan didapati positif dadah jenis methamphetamin,” katanya dalam siaran media, hari ini.
Katanya, kesemua suspek direman selama 4 hari bermula 11 Ogos hingga 14 Ogos ini. Kes disiasat di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1) (A) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Jika sabit kesalahan bagi kes Seksyen 12(2) boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 5 tahun atau denda tidak lebih RM100,000 atau kedua-duanya sekali.
“Manakala, kes yang disiasat di bawah Seksyen 2, 15 (1) (A) boleh dikenakan denda tidak lebih RM5,000 tau penjara maksimum dua tahun,” katanya.
Zaiham berkata, pihak polis tidak akan berkompromi dalam menangani isu dadah di Bentong dan memohon orang ramai menyalurkan maklumat sekiranya terdapat kes jenayah tidak bermoral ini.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JERANTUT – Jentera dari setiap kepimpinan UMNO Jerantut sedang bersiap siaga dan bekerja keras bagi membuktikan kepada rakyat bahawa Barisan Nasional tetap menjadi pilihan nombor satu dalam menerajui kestabilan dan kesejahteraan dalam negeri.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, semoga kerja kuat dan niat murni kepimpinan UMNO Jerantut ini diberkati dan dibalas dengan kemenangan yang dihasratkan.
“Melihat raut wajah mereka yang hadir, saya dapat meneka isi hati mereka yang mahukan parti kita terus menerajui semua kerusi di Jerantut.
“Saya tahu jentera dari setiap kepimpinan UMNO Jerantut berhempas pulas dan bekerja keras bagi membuktikan bahawa Barisan Nasional tetap menjadi pilihan rakyat nombor satu,” katanya.
Datuk Wan Rosdy (kiri) dan Datuk Ahmad Nazlan (kanan) di Majlis Perjumpaan Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang Bersama Kepimpinan UMNO Bahagian Jerantut dan Cawangan-Cawangan, malam tadi
Beliau berkata demikian di Majlis Perjumpaan Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang Bersama Kepimpinan UMNO Bahagian Jerantut dan Cawangan-Cawangan.
Terdahulu, seramai 100 orang peserta di Kawasan FELCRA Durian Hijau 1 (DUN Pulau Tawar) menerima suratan hak milik, melibatkan kawasan pertanian (kelapa sawit) dan setiap peserta akan menerima 2.4 hektar tanah dengan jumlah keseluruhan 364.239 hektar.
Manakala, seramai 85 orang turut menerima suratan hak milik di Kawasan FELCRA Durian Hijau (DUN Pulau Tawar) yang melibatkan kawasan pertanian (kelapa sawit), di mana setiap peserta akan menerima 1.6 hektar dengan jumlah keseluruhan 192.82 hektar.
Seramai 1,473 penerima STR diberi suratan hak milik yang berada di kawasan DUN Damak, DUN Tahan dan DUN Pulau Tawar.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto : Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyantuni salah seorang penerima Suratan Hak Milik dan Notis Borang 5A Daerah Jerantut, di Dewan Majlis Daerah Jerantut, semalam.
Kadar cukai perindustrian Pahang rendah, tolak tohmahan pembangkang
JERANTUT – Kadar cukai tanah bagi kategori perindustrian yang dikenakan oleh Kerajaan Negeri Pahang antara terendah dapat menarik kehadiran para pelabur dan sekali gus mampu melonjak ekonomi demi kesejahteraan rakyat dan negeri Pahang.
Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kadar cukai yang dikenakan bagi kategori perindustrian di negeri ini adalah antara RM0.50 dan RM0.70 semeter persegi dan yang ketiga terendah berbanding negeri lain sekitar pada kadar RM3.80 semeter persegi .
“Cukai yang rendah dapat menarik minat lebih banyak pelabur untuk datang ke negeri ini sekali gus melonjakkan ekonomi negeri serta boleh menawar pekerjaan untuk rakyat negeri Pahang.
“Cukai ini dikutip bertujuan untuk pembangunan negeri dan kebajikan rakyat secara keseluruhannya dan menangkis tohmahan dan menangkis dakwaan kononnya kadar cukai tanah di Pahang adalah tinggi, “ katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Penyampaian Suratan Hak Milik dan Notis Borang 5A Daerah Jerantut, di Dewan Majlis Daerah Jerantut, semalam.
Katanya, selain itu Kerajaan Pahang juga memperkenalkan Cukai Khas bagi kategori lapangan terbang dan pelabuhan di negeri ini.
“Baru-baru ini, kita telah memperkenalkan Cukai Khas bagi kategori Lapangan Terbang dan Pelabuhan yang berkadar RM0.40 semeter persegi sahaja.
“Kerajaan Pahang mengenakan Cukai Perindustrian bagi kategori Lapangan Terbang dan Pelabuhan, namun demi menjadikan perniagaan dan pelaburan di Negeri Pahang kekal kompetitif dan berdaya saing, Cukai Khas ini diwujudkan,” katanya.
Turut hadir, iaitu Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Dr. Sallehuddin Ishak, Pengerusi Jawatan Kuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris dan Pegawai Daerah Jerantut, Khairun Nissa Aris.
Menurut beliau, inisiatif cukai paling rendah antara hasrat kerajaan negeri untuk menarik ramai pelabur ke Pahang dengan menyasarkan pelaburan bernilai RM18 bilion tahun ini.
“Kemudahan cukai tanah yang lebih rendah terbukti apabila pelaburan sudah mencatat sebanyak RM10 bilion pertengahan tahun ini dan menghampiri sasaran tersebut.
“Kerancakan pelaburan ini juga berasaskan kerajaan negeri menyediakan pelbagai kemudahan, dorongan kedudukan ekonomi negeri semakin kukuh dan berkembang, pentadbiran kerajaan yang cekap dan efisien termasuk suasana politik yang stabil,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Datuk Seri Mahdzir Khalid Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid meninjau kawasan pusat penternakan ayam di Kampung Tanjung Seratus, hari ini
FELCRA laksana projek ternakan ayam sistem tertutup bernilai RM60 juta
ROMPIN – FELCRA Berhad mengorak langkah dalam aktiviti perniagaannya dengan melaksanakan projek mega ternakan ayam sistem tertutup bernilai RM60 juta yang dilaksanakan di Kampung Tanjung Seratus, Rompin.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, kementeriannya menyalurkan peruntukan projek mega itu di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) adalah sebahagian inisiatif FELCRA dalam menyokong Dasar Jaminan Keselamatan Makanan Negara.
“Kebenaran merancang projek ini telah dimohon kepada Majlis Daerah Rompin dengan tatacara ataupun peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak majlis, jadi saya fikir bahawa Majlis Daerah Rompin dan kerajaan negeri Pahang tidak ada masalah untuk meluluskan kerana apa yang dipohon itu telah mengikut prosedur yang telah ditetapkan.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid melihat model pusat penternakan ayam di Kampung Tanjung Seratus, hari ini
Projek ini akan membantu menambah bekalan ayam di pasaran dalam negara selain membuka peluang pekerjaan kepada peserta FELCRA,” katanya kepada media selepas Lawatan Kerja ke Tapak Kompleks Ladang Ayam Pedaging Sistem Tertutup FELCRA Berhad di Tanjung Seratus, di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun, Pengerusi FELCRA, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan Ketua Pegawai Eksekutif FELCRA, Datuk Mat Roni Zakaria.
Katanya, projek tersebut adalah sebahagian daripada Pelan Transformasi FELCRA 2.0 untuk mempelbagaikan bidang perniagaannya dan tidak hanya bergantung kepada sektor perladangan kelapa sawit semata-mata.
“Pembinaan kompleks ternakan ayam di atas tanah seluas 20 hektar itu mula dibina bulan ini dan dijangka siap bulan Januari tahun depan.
“Ia dijangka mampu membekalkan sebanyak 600 ribu ekor ayam bagi satu pusingan 35 hari atau 3.6 juta ekor pada tahun pertama operasinya,” katanya.
Katanya, FELCRA menjangkakan dalam satu tahun memperoleh hasil sebanyak enam kali pusingan, ini adalah permulaan (projek) dan pihak FELCRA dan telah membuat ‘engagement’ dengan pihak-pihak yang ada kepakaran dan teknologi selain FELCRA juga ada pegawai-pegawai dalam bidang itu (penternakan ayam).
“Ketika ini, keperluan ayam dalam negara adalah berjumlah 2.09 juta ekor sehari atau 62.9 juta ekor ayam sebulan, berbanding pengeluaran semasa ayam sebanyak 1.6 juta ekor sehari iaitu kekurangan kira-kira 409 ribu ekor ayam sehari.
“Ini adalah sebahagian daripada program dalam FELCRA yang saya jangka FELCRA juga akan mengadakan kawasan ataupun tapak di negeri lain pula selepas ini untuk menambah jumlah bilangan ayam,” kata Mahdzir.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Datuk Seri Mahdzir Khalid menyampaikan sumbangan kepada penduduk kampung di Program Komuniti Sejahtera Bukit Tembaga di Felda Bukit Tembaga di sini hari ini.
KPLB nilai potensi kampung dipilih Kampung Sejahtera
KUALA NERANG – Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) sedang mengenal pasti kampung-kampung di seluruh negara yang memenuhi kriteria untuk layak dipanggil sebagai Kampung Sejahtera.
Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, antara kriterianya termasuk memiliki infrastruktur yang lengkap, aktiviti ekonomi berimpak tinggi, modal insan berdaya maju dan tahap kesihatan komuniti yang baik.
“Sebab Kampung Sejahtera itu memang kita tengah ‘roll out’ sekarang ini, (kita) nak tengok berapa banyak kampung, kita buat juga pertandingan kampung (Pertandingan Aspirasi Kampung Sejahtera).
Tapi pada masa yang sama kita minta data daripada pejabat-pejabat daerah seluruh negara juga berapa banyak sebenarnya kampung yang boleh dianggap sebagai Kampung Sejahtera.”
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Program Komuniti Sejahtera Bukit Tembaga di Felda Bukit Tembaga di sini hari ini.
KPLB tambah Mahdzir, tidak menetapkan sebarang sasaran jumlah kampung yang akan diangkat sebagai Kampung Sejahtera pada tahun ini.
Namun beliau amat menyarankan semua jawatankuasa kampung mengambil peluang menyertai pertandingan itu.
Bagi kampung yang berjaya memenuhi kriteria yang ditetapkan untuk diiktiraf sebagai Kampung Sejahtera, KPLB akan menyalurkan peruntukan pembangunan kepada kampung tersebut berdasarkan keperluan di kawasan itu.
“Kalau yang paling tinggi kita boleh bagi RM1 juta peruntukan pembangunan dalam kampung, juga RM100,000, ada yang RM200,000 bergantung kepada keperluan. Contohnya, kalau jalan baik, elektrik ada, paip air ada, (tapi) mungkin surau dia tak begitu cantik (kita bagi peruntukan untuk surau).”
Untuk itu jelas Mahdzir, ketua-ketua kampung perlu memainkan peranan lebih kreatif dan inovatif bagi menggerakkan komuniti kampung untuk memenuhi kriteria Kampung Sejahtera KPLB.
“Ketua Kampung itu kena ada ‘innovation’, ketua tu kena kreatif dan kita akan tolonglah, tapi kalau empat tahun tak pernah buat gotong-royong, jadi macam mana nak bagi (peruntukan),” katanya.
Untuk rekod, Malaysia ketika ini mempunyai 28,303 buah kampung meliputi 19,447 kampung di Semenanjung Malaysia, 5,976 kampung di Sarawak, 2,853 kampung di Sabah dan 27 kampung di Labuan.
KPLB memperkenalkan Aspirasi Kampung Sejahtera bagi melonjak pembangunan kawasan di luar bandar.
Ia sebahagian usaha kerajaan untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat kampung khususnya aspek ekonomi.
Selain memastikan semua kampung mencapai aspirasi yang digariskan dalam Dasar Pembangunan Luar Bandar (DPLB) iaitu wawasan Luar Bandar yang Sejahtera, Inklusif, Mampan dan Holistik menjelang 2030.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : RM22 juta diperuntukan bagi projek jalan masuk ke beberapa SRK di Serian, Sarawak
RM22 juta diperuntukan bagi projek jalan masuk ke SRK di Serian, Sarawak
Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) memperuntukkan sejumlah RM221.45 juta pada tahun 2022 bagi meningkatkan dan membina rangkaian jalan luar bandar di Sarawak.
KPLB telah memperuntukkan sejumlah RM22 juta bagi pembinaan Projek Jalan Masuk Ke SRK Prangkaan – SRK Buguh – SRK Beruan dengan skop projek menaik taraf jalan sepanjang 13.5 KM dengan piawaian JKR R1 dan membina 3 buah jambatan.
Manakala sejumlah RM115 juta pula diperuntukkan bagi projek jalan perhubungan desa dan jalan ladang pertanian di Wilayah Sarawak.
Ketua Setiausaha, Dato’ Ramlan Harun berkata, menerusi peruntukan yang diperolehi pada tahun 2022 Rancangan Malaysia ke-12 ini membolehkan KPLB terus mempergiatkan kemudahan perhubungan jalan luar bandar di seluruh Sarawak.
“KPLB telah memperuntukkan sejumlah RM22 juta bagi pembinaan Projek Jalan Masuk Ke SRK Prangkaan – SRK Buguh – SRK Beruan dengan skop projek menaik taraf jalan sepanjang 13.5 KM dengan piawaian JKR R1 dan membina 3 buah jambatan.
Projek ini telah bermula pada 13 Januari 2022 dan dijangka siap pada 12 Januari 2024 dengan jangkaan siap dalam tempoh 24 bulan.
“Projek ini akan memberi manfaat kepada 2,400 penduduk di kawasan tersebut terutamanya kepada pelajar dan guru di SK Philip Beguh.
Ramlan menambah, projek ini dapat menjimatkan masa perjalanan daripada 2 jam kepada 45 minit untuk pergi ke bandar berdekatan.
Pada masa kini penduduk kawasan tersebut masih lagi bergantung kepada pengangkutan sungai untuk ke bandar berdekatan,” katanya.
Ramlan berkata demikian semasa Lawatan Kerja Projek Prasarana Luar Bandar di daerah Serian di sini hari ini.
KPLB berharap dengan pembinaan dan kerja-kerja menaik taraf ini juga membantu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih seimbang di kawasan luar bandar selaras Aspirasi Kampung Sejahtera dan Dasar Pembangunan Luar Bandar.
Beliau menambah, pihaknya akan terus bekerjasama dengan Kerajaan Wilayah Sarawak dalam memastikan peruntukan yang disalur dapat membolehkan projek-projek dilaksanakan dengan segera bagi memenuhi keperluan infrastruktur luar bandar. SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Perodua Axia yang terbabit dalam kemalangan itu di Jalan Keratong-Bahau malam tadi. -JBPM
Tiga maut dalam kemalangan libat 3 kenderaan di Rompin
ROMPIN – Tiga maut dalam kemalangan yang yang melibatkan sebuah treler dan dua kereta manakala empat lagi cedera di Kilometer 126 Jalan Kuantan-Segamat, Rompin, kira-kira pada jam 9.00 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Azahari Mukhtar berkata, kejadian itu meragut nyawa Abdul Raziz Mohdal, 40, Mohd Khairol Md Tahir, 36, dan Zairulzaimy Jambi, 18.
“Siasatan awal mendapati sebuah treler yang datang dari arah Kuantan menghala ke Segamat, apabila sampai di tempat kejadian, tiba-tiba kereta Proton Iswara dari arah Segamat dipercayai masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan treler.
Sebuah Proton Iswara yang terlibat dalam kemalangan yang melibatkan 3 kenderaan dan maut, malam tadi.
“Kemalangan itu menyebabkan treler hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan Perodua Axia dan terus terjatuh ke dalam cerun di sebelah kanan jalan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Azahari berkata, akibat kemalangan itu, kelindan treler, Abdul Raziz; pemandu Proton Iswara, Mohd Khairol; dan penumpang belakang Iswara, Zairulzaimy meninggal dunia di tempat kejadian.
“Empat mangsa lain iaitu pemandu treler, dua penumpang Iswara dan pemandu Axia yang cedera dihanatar ke Hospital Muadzam Shah, Rompin untuk mendapatkan rawatan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pahang Zulfadli Zakaria berkata, seramai 15 pegawai dan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) MUadzam Shah dan BBP Chini, Pekan ke lokasi kemalangan untuk operasi menyelamat dan mengeluarkan mangsa.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas: Kalsom Abu Bakar (depan tengah) bersama ahli Persatuan Amal Bakti N9 ketika mengadakan program komuniti di Sekolah Kebangsaan Inas, Johol, Negeri Sembilan baru-baru ini.
Program Roti Canai Mat Kilau seri program komuniti PJMM
Persatuan Amal Bakti Negeri Sembilan bersama beberapa pasukan sukarelawan melaksanakan program komuniti pada Majlis Tebaran Roti Canai Mat Kilau anjuran Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), di Kampung Sungai Purun, Semenyih, Selangor, baru-baru ini.
Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang diwujudkan enam tahun lalu itu memang cukup popular di Negeri Sembilan kerana aktif dalam pelbagai kerja amal serta kebajikan bagi membantu penduduk yang memerlukan bantuan.
Kalsom Abu Bakar
Pengerusinya, Kalsom Abu Bakar berkata, persatuannya terpanggil untuk menyertai program itu bagi menyuntik semangat dan memberi motivasi kepada warga emas tersisih tanpa waris di pusat jagaan itu.
Katanya, beliau dimaklumkan oleh pengurusan PJMM, majlis itu juga salah satu usaha mencari dana bagi membantu operasi pusat berkenaan kerana warga emas ditempatkan di situ tidak dikenakan sebarang bayaran dan bergantung infak dan sumbangan pelbagai pihak termasuk daripada orang ramai.
“Persatuan hadir bersama pasukan dari hospital, pusat kesihatan dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) untuk melakukan pemeriksaan kesihatan seperti penyakit darah tinggi, kencing manis, jantung, pap smear, gigi, derma darah dan sebagainya.
Pengerusi Persatuan Amal Bakti Negeri Sembilan, Kalsom Abu Bakar (kiri) menyerahkan sumbangan kipas pengudaraan haba kepada Pengerusi Persatuan Kebajikan Mahmudah Malaysia, Azman Rasman (kanan).
“Dalam program komuniti yang membabit persatuan ini, pasukan kesihatan Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Negeri Sembilan sering terbabit sama di samping pusat kesihatan di kawasan terbabit bagi memudahkan komuniti setempat membuat pemeriksaan kesihatan,” katanya.
Katanya, persatuan teruja dapat membabitkan ahli dalam majlis di PJMM yang terletak luar dari Negeri Sembilan selain memberi pengalaman baharu untuk aktif di negeri lain dalam memperluaskan kerja kebajikan membantu komuniti yang memerlukan pembelaan.
Turut hadir pada mesyuarat itu, Pengerusi Persatuan Kebajikan Mahmudah Malaysia, Azman Rasman; Pengerusi Pusat Jagaan Nur Hasanah, Mohiadin Bahado; Pengurus PJMM, Sazali Mohiden; Setiausaha PJMM, Muhammad Syafiq Mohiadin; wakil Pusat Jagaan Insan; Persatuan Persilatan Putraja; Persatuan Kraf Tangan; dan sukarelawan pelbagai pertubuhan.
“Persatuan turut menyerahkan sumbangan tiga kipas pengudaraan haba dan beberapa barangan keperluan kepada pengurusan PJMM sebagai membantu melengkapkan kemudahan asas bangunan pusat jagaan berkenaan,” katanya.
Manakala Muhammad Syafiq pula berkata, bersempena kehebatan filem Mat Kilau yang sedang ditayangkan di pawagam, pusat jagaan mengambil peluang menggunakan nama Mat Kilau untuk majlis itu bagi menyuntik semangat warga emas yang teruja emosi apabila melihat promosi melalui televisyen.
Menurutnya, walaupun uzur dan menghidap pelbagai penyakit tetapi reaksi warga emas itu yang turut ghairah bercerita antara mereka mengenai filem Mat Kilau menimbulkan anggapan mungkin ada dalam kalangan mereka memiliki kemahiran dalam ilmu persilatan ketika muda dahulu.
“Majlis ini juga membuka peluang kepada orang ramai untuk hadir beramai-ramai bagi melihat secara dekat kehidupan warga emas di PJMM yang tidak berkeluarga, menyantuni mereka dengan bertanya khabar dan sebagainya bagi mengubati kesunyian mereka,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Datuk Seri Mahdzir Khalid bertanya khabar kepada salah seorang pelajar yang berjaya dipilih untuk melanjutkan pengajian ke universiti terbaik dunia tajaan MARA.
1,246 PELAJAR TAJAAN MARA KE LUAR NEGARA MULAI SEPTEMBER INI
KUALA LUMPUR – Majlis Amanah Rakyat (MARA), meneruskan penajaan 1,246 pelajar cemerlang melanjutkan pengajian ke universiti terbaik dunia dalam pelbagai bidang dan peringkat pengajian.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, daripada jumlah itu, seramai 690 pelajar melanjutkan pengajian ke United Kingdom (UK) dan 217 ke Amerika Syarikat (AS).
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, daripada jumlah itu, seramai 690 pelajar melanjutkan pengajian ke United Kingdom (UK) dan 217 ke Amerika Syarikat (AS).
“MARA akan terus menyediakan peruntukan bagi menaja pengajian pelajar-pelajar cemerlang yang akan memberi manfaat kepada ribuan pelajar setiap tahun di bawah skim pinjaman boleh ubah bagi pengajian di dalam dan luar negara.
“Antara program penajaan yang ditawarkan adalah Young Talent Development Programme (YTP), Graduate Excellence Programme (GREP), Program Pembangunan Profesional (Pro-P), IPMA Excellent Students Programme (IESP) dan MARA Education Sponsorship Hybrid (MESH)”, katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pra Pelepasan Pelajar Ke Luar Negara (Know Before You Go) di sini hari ini .
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Datuk Ramlan Harun, Pengerusi MARA, Datuk Seri Azizah Mohd Dun dan Ketua Pengarah MARA, Datuk Azhar Abdul Manaf.
Jelas Mahdzir, selain UK dan AS, MARA turut menghantar pelajarnya ke Rusia seramai 84 orang, Australia 66 orang, India 50 orang, Perancis 47 orang, Ireland 34 orang, Sepanyol 16 orang, New Zealand 15 orang, Belanda 3 orang, Jordan 2 orang dan Jerman, Sweden serta Korea Selatan masing-masing satu orang pelajar.
Kesemua pelajar terbabit kini sedang menjalani program persiapan diri dan akan berlepas ke negara tersebut secara berperingkat bermula September depan.
Program Pra Pelepasan Pelajar Tajaan MARA ke luar negara (Know Before You Go) antaranya adalah bagi memberi pendedahan dan penerangan berkenaan urusan konsular oleh Bahagian Konsular Wisma Putra.
Selain taklimat ancaman keselamatan dan ekstremis oleh Polis Diraja Malaysia, taklimat urusan di lapangan terbang, urusan kewangan dan prosedur yang perlu dipatuhi semasa menjadi pelajar tajaan MARA di luar negara nanti.
“Kesemua pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian ke luar negara adalah berdasarkan keputusan yang cemerlang semasa mengikuti pengajian persediaan seperti A-Level, International Baccalaureate, American Degree Transfer Program, Diploma, Foundation serta Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana.”
Pelajar terbabit tambah Mahdzir, sebelum ini juga telah menghadiri Program Pemantapan Karisma yang diadakan selama 3 hari termasuk pendedahan berkaitan prinsip utama konsep kenegaraan bagi memahami kepentingan Kerajaan dalam pentadbiran Malaysia.
Program tersebut dijalankan dengan kerjasama Institut Pembangunan dan Kecemerlangan Kepimpinan (i-LEAD) di bawah Kementerian Belia dan Sukan.
Selain itu, program tersebut juga bertujuan memupuk aspek kepimpinan dalam diri setiap pelajar bagi menghasilkan generasi yang mempunyai potensi dan berkemahiran tinggi.
“MARA akan terus melahirkan golongan pelajar yang peka tentang konsep berkerajaan serta mengetahui dasar-dasar negara berpandukan perlembagaan persekutuan dan prinsip rukun negara,” kata Mahdzir.
Untuk rekod, MARA kini mempunyai sejumlah 3,229 orang pelajar tajaannya di 19 buah negara dan kesemua mereka melanjutkan pengajian di 50 universiti terbaik dunia mengikut QS Ranking 2022 dan 20 terbaik mengikut kedudukan kursus yang ditawarkan.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Mayat Amiruddin Asyraf Mat Saman ditemui pada jarak 1.5 kilometer dari tempat kejadian pagi ini.
Mayat pemancing yang dihanyut air deras di Loji Empangan Semantan ditemui
BENTONG – Seorang kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang memancing di Loji Air Semantan, Lanchang, di sini dan dihanyutkan air deras Selasa lalu, ditemui lemas hari ini.
Mangsa, Amiruddin Asyraf Mat Saman, 26 tahun, bersama seorang rakannya pergi memancing di situ dipercayai gagal menyelamatkan diri dengan memanjat di sebuah batu besar di tengah sungai ketika tiba-tiba paras air loji naik mendadak dan mengalir deras.
Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, mayat mangsa ditemui oleh Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dan Unit K9 pada 10.28 pagi ini.
Menurutnya, seramai 55 anggota JBPM, polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Rela serta orang awam turut membantu dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang memasuki hari kedua hari ini.
“Kita menemui mangsa kira-kira 1.5 kilometer dari lokasi kejadian. Mayat dibawa keluar dari sungai terbabit untuk diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!